Bersempena dengan kedatangan Syawal yang mulia pada tahun ini, pihak Pengurusan dan warga Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd (“Fibrecomm”) telah menganjurkan Majlis Jalinan Kasih RiangRia Aidilfitri 2023 bersama anak-anak yatim, miskin dan asnaf bertempat di Rumah Penyayang Nur Iman yang terletak di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


Pada tanggal 16 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444 Hijrah, seramai lebih kurang 30 orang warga kerja Fibrecomm telah meraikan anak-anak yatim, miskin serta asnaf pada Majlis Jalinan Kasih RiangRia Aidilfitri 2023. Majlis bermula dengan bacaan surah Yassin, Tahlil arwah serta diiringi Doa Selamat yang dipimpin oleh Ustaz Fawwaz bersama anak-anak yatim, miskin & asnaf serta warga kerja Fibrecomm yang turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut. Pelbagai juadah hidangan menu hariraya termasuk ayam goreng KFC serta cendol disediakan untuk anak-anak di rumah Penyayang Nur Iman.
Seperti kebiasaan ketika kedatangan bulan Ramadhan, pihak Fibrecomm telah memperuntukkan dan memberi sumbangan Wakalah Zakat Perniagaan sebanyak RM10,000.00 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Ribu Ringgit sahaja) kepada Rumah Penyayang Nur Iman.
Ketua Pegawai Pemasaran Fibrecomm, En. Mohd Rizal Md Diton telah berbesar hati untuk menyerahkan “mock” cek kepada Ustazah Sharimah Ali, Penaung Rumah Penyayang Nur Iman.


Di samping itu tradisi pemberian duit raya begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia tambahan pula pemberian duit raya boleh dianggap sebagai sedekah, iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratkan silaturahim. Selain itu, pemberian duit raya juga dilihat sebagai amalan yang membuka pintu rezeki kepada pemberi.
Penganjuran program seumpama ini bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan yang memerlukan. Ia juga salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu anak-anak ini. Adalah diharapkan ia akan menjadi program yang berpanjangan dan berterusan dari masa ke masa hendaknya, in sha Allah.
